Oleh: Dr. Azwan
Sumber: http://drazwan.blogspot.com/
Assalamualaikum,
Konsep perubatan Islam difahami dengan pelbagai sudut oleh pelbagai pihak. Perbezaan ini lebih dikelirukan dengan pendapat-pendapat daripada mereka yang tidak berbelakangkan bidang perubatan. Terma perubatan Islam dan perubatan Muslim digunakan secara wewenang seolah ia adalah perkataan yang sama dan membawa maksud yang sama.
Prof Dr Omar Hassan Kasule, pensyarah dari Universiti Brunei telah mengupas maksud derihal terma ini. Beliau seorang pakar epidemiology lulusan Harvard yang merupakan seorang lulusan doktor perubatan. Berasal dari Uganda, mahir di dalam 6 bahasa termasuk bahasa Arab, beliau pernah menjadi professor saya di UIAM di dalam bidang Islamic Reveal Knowledge dan Epidemiology. Beliau adalah di antara yang awal membentangkan kertas kerja tentang perubatan Islam moden di banyak negara termasuk Malaysia. Beliau memperkatakan masalah ini dari sudut yang lebih meluas termasuk perubatan Islam dengan menggunakan al-Qur'an dan Tibb Nabawi.
KENAPA TOPIK INI PENTING?
Ramai yang silap faham atau atau sekadar memahami bahawa perubatan Islam itu hanyalah doa, jampi dan amalan herba dan makanan yang disebut Rasulullah atau yang disebut di dalam al-Qur'an sahaja. Atau ada yang menganggap perubatan Islam itu adalah ketika "melawan JIN" atau "makhluk halus". Ada yang memahami perubatan Islam sebagai bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an sahaja.
Topik ini sangat penting kerana, apabila masyarakat Islam ingin mengadakan sebuah institusi seperti Hospital Islam, kita harus kembali kepada persoalan tuntas. Perubatan yang bagaimana harus dilaksanakan dan dipraktikkan? Tentulah Hospital tersebut perlu melaksanakan perubatan yang bercirikan Islam. Jadi definisi dan terma Perubatan Islam itu sendiri perlu jelas. Pada dasarnya apakah itu Perubatan Islam?
Bagaimana pula Universiti Islam yang ingin mengajar perubatan Islam di Universitinya? Perubatan Islam yang bagaimanakah perlu diajar? Apakah pendekatannya? Perubatan Islam yang sebagaimana?
Oleh itu artikel saya ini sedikit sebanyak akan mengupas isu apa itu perubatan Islam yang diamalkan oleh Hospital-hospital yang berteraskan Islam. Ia harus meluas, fleksibel di dalam kepungannya yang unik dan tersendiri, di mana batas dan ruangannya dan sebagainya.
PERUBATAN BERSUMBERKAN AL-QUR'AN - TIBB QUR'ANI
Ada yang berpendapat bahawa Perubatan Islam itu adalah perubatan yang disebut di dalam al-Qur'an. Al-Qur'an banyak menyentuh tentang penyakit spiritual dan penyakit fizikal di dalam ayat-ayatnya. Al-Quran menegaskan bahawa penyembuh segala penyakit adalah dari Allah SWT kerana DIA adalah Maha Penyembuh.
Al-Quran juga menyentuh tentang halal dan haram makanan yang boleh membawa kepada penyakit, makan berlebihan, dan panduan tentang ubat-ubat yang datang daripada madu lebah. Qur'an juga ada menyentuh tentang kejadian manusia, penyakit berjangkit, keburukan alkohol, kejadian manusia dan kebaikan berpuasa.
Hakikatnya al-Qur'an adalah buku panduan untuk kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Ia adalah dalil kewujudan Allah dan membuktikan bahawa Allah adalah Maha Bijaksana dan Maha Pencipta. Ia bukanlah satu buku teks perubatan khusus. Ia tidak menetapkan ubat yang khusus untuk penyakit yang khusus. Ia menyuruh manusia supaya berfikir, berusaha dan menambah ilmu untuk kebaikan manusia yang lain. Sesiapa yang menyelamatkan seorang manusia seolah-oleh dia menyelamatkan seluruh Umat. Pendekata al-Quran membawa pengertian lebih besar dan luas daripada hanya khusus kepada masalah kecil di dalam perubatan.
Prof Omar Kasule tidak pula menerangkan tentang aspek sesetengah golongan orang Islam mengkomersialkan ayat-ayat al-Qur'an sebagai air-air jampi yang dibotolkan dan dijual untuk meraih keuntungan di atas nama perubatan. (Saya pun tak bertanya pula). Adakah wajar mengambil keuntungan sebegitu dengan menjanjikan sesuatu penawar kepada penyakit yang adakalanya tidak ada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan pada masa ini.
PERUBATAN CARA RASULULLAH SAW - TIBB NABAWI
Selain daripada al-Qur'an, sumber perubatan Islam boleh diperolehi daripada Tibb an-Nabawi.
Tibb An-Nabawi - atau perubatan berasaskan perkataan dan perlakuan Rasulullah juga telah didefinisikan sebagai perubatan Islam. Sahih Bukhari telah meriwayatkan 129 hadis Rasulullah yang berkaitan dengan perubatan Islam. Habbatus Sawda' dicadangkan oleh Rasulullah sebagai ubat secara umum dan telah dibuat kajian secara intensif oleh ramai Professor Islam dan menunjukkan peningkatan sistem imuniti melaluinya.
Banyak juga Tibb an-Nabawi yang menyentuh tentang masalah spiritual. Di dalam perubatan nabi inilah maka sistem asas perubatan Islam diperkenalkan iaitu setiap penyakit itu ada ubatnya. Ini sepatutnya menyedarkan ramai Saintis Islam tentang pencarian ubat-ubatan kepada penawar penyakit yang masih belum dijumpai melalui eksperimen secara piawai mengikut tahap yang diterima dunia.
Penyataan bahawa semua penyakit itu ada ubatnya, pada pendapat saya harus berada di dalam satu konotasi yang betul. Adakah wajar apabila seseorang yang mengatakan di dalam Islam, semua penyakit ada ubatnya, lalu mengambil segenggam daun yang entah dapat dari mana, lepas tuh meletakkan namanya dengan nama "Misai Harimau" dan mempromosikan inilah ubat untuk kanser hati, kanser itu dan kanser ini. Walhal, tiada satu pembuktian pun telah dibuat melalui eksperimen yang diterima pakai oleh ahli bijak pandai? Bolehkan ini diselarikan dengan 'semua penyakit ada ubatnya'?.
Apa-apa yang Rasulullah sebut adalah sentiasa benar dan boleh dipraktikkan. Doktor Islam tidak sewajarnya mempertikaikan tentang perubatan Rasulullah SAW kerana ia sangat berkesan pada zamannya dan juga sebahagiannya kini. Tibb Nabawi banyak mengajar tentang Penjagaan Kesihatan secara "Primary" iaitu rawatan pencegahan. Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat oleh itu ia adalah aspek yang sangat penting sehingga kini.
Cara Rasulullah menjaga adab makan sebagai contoh boleh mengelakkan segala macam penyakit yang timbul akibat masalah nutrisi masa kini. Kesihatan mental, kebersihan seksual (membersihkan diri, mandi, berkhitan), menjaga persekitaran dan kebersihan dan menjaga penyakit berjangkit sangat berkesan dan diamalkan setiap hari oleh semua umat Islam. Malah penyakit psikosomatik - penyakit fizikal yang berasal daripada masalah mental - banyak disembuhkan melalui cara-cara spiritual seperti ibadah dan amalan doa yang dilakukan oleh Rasulullah.
Cuma keterbatasan dari sudut penyakit dan diagnosis pada ketika itu, sumber ubat-ubatan, penyakit-penyakit baru yang timbul dan pelbagai kemajuan dari aspek perubatan menjadikan ilmu-ilmu pada masa itu tidak mencukupi untuk menampung perkembangan ilmu-ilmu perubatan kini yang semakin pesat. Amat sukar untuk memastikan rawatan apa untuk penyakit yang bagaimana pada waktu ini kerana perbezaan penyakit yang ada pada waktu itu dan kini.
1 comment:
Salam,
i like dis post very much...can't really think suitable words to comment rite now, but i really2 like dis one esp abt prevention is better than cure =)
anyway, happy holiday!!!
Post a Comment