“Islam tidak mengutamakan siapa yang patut terlibat. Tetapi Islam membuat ketentuan tentang siapakah yang tidak patut terlibat dalam hal ini. Soal mematikan mesin penyokong nafas bagi pesakit mati otak, bukanlah subjek agama. Ia adalah isu perubatan. Maka pegawai perubatanlah yang menentukannya. Pegawai agama hanya bertindak menyelia dan menasihat”, saya menyelesaikan konklusi pembentangan kertas kerja saya.
Tengah hari itu, saya membentangkan kertas kerja tentang pandangan Islam di dalam persoalan Euthanasia dan Mati Otak. Diskusi tersebut, diusahakan oleh pelajar-pelajar perubatan di The Queen’s University, Belfast, yang mengambil subjek Etika Perubatan.
Saya telah jelaskan kepada peserta, bahawa Islam mempunyai persamaan dengan pandangan Kristian dan Yahudi dari aspek memuliakan nyawa manusia. Namun dalam kes Euthanasia dan Mati Otak, Islam tidak mengutamakan soal siapakah yang patut terlibat untuk membuat keputusan mencabut mesin sokongan nyawa, apabila pesakit telah mati otak. Sebabnya, ia sudah jelas. Kes menghentikan sokongan mesin bagi pesakit yang mati otak ini adalah kes perubatan, maka mereka yang ahli di dalam perubatan yang sepatutnya membuat keputusan tersebut.
Berbeza dengan wakil Protestant dan Katholik yang beberapa kali menyatakan kekesalan mereka, lantaran Chaplain di hospital sering tidak dilibatkan. “Kesan sekularisma, memencilkan agama dari kehidupan!”, kata mereka.
Sebaliknya, Islam lebih memberikan penekanan tentang siapakah yang tidak patut terlibat dalam membuat keputusan itu. Umumnya, mereka yang berkepentingan mesti dihindarkan dari mempengaruhi keputusan itu. Pewaris harta, pegawai pendermaan organ, dan sebagainya. Ini adalah demi memastikan keputusan mencabut sokongan mesin itu, adalah 100% demi kebaikan pesakit.