29 June 2010

Paradigma Perubatan dan Hospital Islam

perubatanislam.jpg
“Islam tidak mengutamakan siapa yang patut terlibat. Tetapi Islam membuat ketentuan tentang siapakah yang tidak patut terlibat dalam hal ini. Soal mematikan mesin penyokong nafas bagi pesakit mati otak, bukanlah subjek agama. Ia adalah isu perubatan. Maka pegawai perubatanlah yang menentukannya. Pegawai agama hanya bertindak menyelia dan menasihat”, saya menyelesaikan konklusi pembentangan kertas kerja saya.
Tengah hari itu, saya membentangkan kertas kerja tentang pandangan Islam di dalam persoalan Euthanasia dan Mati Otak. Diskusi tersebut, diusahakan oleh pelajar-pelajar perubatan di The Queen’s University, Belfast, yang mengambil subjek Etika Perubatan.

Saya telah jelaskan kepada peserta, bahawa Islam mempunyai persamaan dengan pandangan Kristian dan Yahudi dari aspek memuliakan nyawa manusia. Namun dalam kes Euthanasia dan Mati Otak, Islam tidak mengutamakan soal siapakah yang patut terlibat untuk membuat keputusan mencabut mesin sokongan nyawa, apabila pesakit telah mati otak. Sebabnya, ia sudah jelas. Kes menghentikan sokongan mesin bagi pesakit yang mati otak ini adalah kes perubatan, maka mereka yang ahli di dalam perubatan yang sepatutnya membuat keputusan tersebut.
Berbeza dengan wakil Protestant dan Katholik yang beberapa kali menyatakan kekesalan mereka, lantaran Chaplain di hospital sering tidak dilibatkan. “Kesan sekularisma, memencilkan agama dari kehidupan!”, kata mereka.
Sebaliknya, Islam lebih memberikan penekanan tentang siapakah yang tidak patut terlibat dalam membuat keputusan itu. Umumnya, mereka yang berkepentingan mesti dihindarkan dari mempengaruhi keputusan itu. Pewaris harta, pegawai pendermaan organ, dan sebagainya. Ini adalah demi memastikan keputusan mencabut sokongan mesin itu, adalah 100% demi kebaikan pesakit.



euthanasia.GIF
Apa yang menarik perhatian saya, ialah reaksi wakil Protestant dan Katholik tersebut. Kedua-kedua mereka semacam teruja dengan keterangan saya.
“Pandangan Mr. Imam Hasrizal, wajar kita pertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam sistem yang ada!”, kata Reverend yang mewakili pandangan Protestant.
KETERBUKAAN
Di sinilah saya ingin menarik perhatian kita semua. Keterbukaan mereka untuk menerima pandangan saya yang Islamik dan ‘tidak Kristian’ harus menjadi bahan renungan bersama. Mereka tidak prejudis terhadap idea yang saya kemukakan semata-mata kerana ia datang dari belief system yang berbeza.
Apa yang dicari adalah faedah dan kaedah terbaik buat pesakit, maka mana-mana sahaja yang baik, harus diterima. Itu cara mereka.
Kesediaan dan keterbukaan masyarakat Barat menerima apa sahaja yang bermanfaat untuk mereka, telah menjadikan mereka maju. Bukan hari ini sahaja, malah semenjak sekian lama.
EROPAH SEMASA MENUTUP DIRI
Semasa Eropah prejudis dengan Islam dan taasub kepada kepercayaan mereka, Eropah terjun ke dunia gelap yang sangat menjelekkan. Bermula dari kedunguan mereka yang menganggap perasaan ingin tahu sebagai dosa, hinggalah kepada kezaliman Inquisition Kristian di Sepanyol yang menyembelih pembangunan dan sumbangan Islam, demi memenangkan aqidah sempit mereka.
temple-destruction.jpg
Keengganan mereka membuka akal dan mata, menjadikan mereka terperangkap di dalam kebodohan sendiri. Hal ini telah pun saya sentuh dengan panjang lebar di dalam artikel Menjahilkan Diri Terhadap Musuh.
Hanya selepas Eropah bersedia untuk menerima segala yang berfaedah untuknya, maka barulah terbit cahaya di hujung akal mereka untuk menyalakan api Pencerahan (Enlightenment).
Saya pernah bertanya kepada Prof. Abdullah al-Ahsan ketika mengambil subjek Modern History of Europe, “apakah tokoh-tokoh seperti Rene Descarte, Immanual Kant, Adam Smith, malah tokoh awal humanisma Kristian seperti Desiderius Erasmus ini, belajar Islam dan kemudiannya meminjam idea Islam untuk memulihkan masyarakat mereka?”
“Saya galakkan kamu mencari jawapan terhadap soalan itu. Ia tidak mustahil. Malah Voltaire telah mengkaji Zoroastrianism dengan tujuan mahu mencari sokongan kepada pegangannya Deism”, jawab Prof. kepada saya.
Apa yang pasti, banyak hasil karya di fajar era Pencerahan yang kelihatannya sangat religious dan tidak jauh dari nilai Islam, walaupun ia berakhir dengan terhasilnya sebuah produk yang sangat berkriteriakan Eropah.
Tegasnya, kesediaan mereka untuk mengambil apa sahaja yang bermanfaat, telah menyuntik kekuatan kepada Eropah keluar meninggalkan dunia gelap kepada kemajuan yang berterusan hingga ke hari ini.
BAGAIMANA DENGAN KITA?
Dari segi naqalnya, Islam sudah pun dengan jelas menyebut bahawa:
hikmah_dhallatulmukmin.JPG
“Hikmah itu adalah barangan yang tercicir (dari tangan) orang Mukmin. Di mana pun beliau menemuinya, maka dialah yang paling berhak terhadapnya”
Hikmah itu bisa sahaja diertikan sebagai segala perkara baik yang menepati keperluan Mukmin. Ia pula bukan sahaja sesuatu yang dianggap ‘harus diguna’ malah digesa mengambilnya apabila ditegaskan betapa Mukmin yang menemuinya menjadi manusia yang paling berhak ke atas hikmah itu.
Maka, apa sahaja yang terbaik dalam segala yang baik, seorang yang beriman mesti memanfaatkannya. Kebaikan tidak mempunyai identiti Timur atau Barat, Utara atau Selatan. Asalkan baik sahaja ia, maka Islamlah ia. Islam dalam erti kata, tunduk, berserah dan mengikut Sunnatullah.
Maka bagaimanakah perkara ini patut diaplikasikan kepada kehidupan kita?
Ambil sahaja contoh bagi sebuah sistem perubatan dan institusinya yang bernama hospital.

SISTEM PERUBATAN ISLAM DAN TIDAK ISLAM

Apakah jika perubatan itu mahu dinamakan perubatan Islam, maka ia hanya terhad kepada kaedah rawatan ruqyah dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran semata-mata? Apakah ia terhad kepada rawatan untuk mengeluarkan jin yang merasuk manusia semata-mata? Apakah ia terhad kepada penggunakan herba-herba yang bernama ahli keluarga Nabi SAW seperti Ali dan Fatimah sahaja?
Apakah perubatan yang menggunakan paracetamol dan insulin bukan perubatan Islam? Apakah berubat dengan doktor dianggap tidak Islamik, sebaliknya doktor Islam hanyalah ustaz yang mahir ruqyah al-Quran?
Apakah jika kita mengambil manfaat dari buku Clinical Medicine oleh Kumar & Clark, dianggap tidak Islamik, dan kitab al-Tibb al-Nabawi oleh Ibn Qayyim al-Jawziyya sahaja teks buku perubatan Islam?
Saya tidak mempersoalkan hal ini secara sinis, tetapi jujur mahu mengajak kita menilai kembali bagaimanakah kita selama ini mendefinisikan apa yang Islamik dan apa yang tidak Islamik.
HUKUM ALAM
Mari kita berpatah balik kepada merenung alam ini. Jika dilihat, api di mana-mana pun mempunyai kriteria yang tertentu. Antaranya ialah, api itu sifatnya membakar. Siapakah yang menjadikan api itu sifatnya membakar?
Jawapannya ialah: ALLAH.
Malah Allah sendiri semasa memerintahkan api agar tidak membakar, maka ia bertindak melanggar hukum asal dari Allah ke atasnya:
bardanwasalaaman.JPG
“Kami berfirman: “Hai api, Jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ” (Al-Anbiya’ 21 : 69)
Apabila seorang ahli farmasi menemui garis panduan standard tentang sukatan paracetamol yang ingin diberikan diskripsi kepada seorang pesakit, adakah ketetapan standard itu beliau yang tentukan, atau beliau hanya menemuinya hasil mengkaji?
Jika ia hasil penemuan, siapakah yang menetapkannya sebelum ia ditemui? Tidakkah semua hukum perubatan itu adalah hukum Allah? Tidakkah sukatan standard jumlah insulin ke badan pesakit diabetik itu hukum Allah?
Ia hukum Allah.
Dua hidrogen dan satu oksigen untuk membentuk molekul air adalah hukum Allah.
h2o.jpg
Maka produk-produk dan sistem yang menguruskan kehidupan manusia yang dibina di atas asas itu juga adalah dari Allah. Namanya tetap Islam, biar pun yang menemuinya bernama Alexander Fleming.
Itulah Sunnatullah, iaitu peraturan yang Allah tetapkan sebagai aturan yang mengatur segala hidupan di alam ini. Bagaimana alam berinteraksi dengan alam, bagaimana manusia berinteraksi sesama manusia dan bagaimana alam dan manusia saling berinteraksi, semuanya terikat dengan hukum yang tetap. Namanya Sunnatullah.
Sunnatullah itu tiada ganti, tidak boleh diubah.
sunnatullah_tabdila_tahwila.JPG
“… Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan Sunnatullah itu” (Fathir 35: 43)

Maka perubatan Islam ialah perubatan yang mematuhi peraturan Sunnatullah, dan perubatan yang memberikan kesembuhan. Sama ada ia produk Ireland, atau Jerman, produk China atau Malaysia, asalkan ia menyembuhkan, ia perubatan Islam, ia HIKMAH yang mukmin itu paling berhak ke atasnya.
Seandainya kita masih terperangkap dengan idea perubatan Islam itu hanya ada di Darul-darul, manakala perubatan yang di hospital pula bukan perubatan Islam, maka kita telah terperangkap di dalam paradigma sekular. Sama ada paradigma sekular yang mahu menolak agama, atau paradigma sekular yang mahu menolak dunia. Kedua-duanya adalah sekular.
Seorang doktor yang menolak peranan ruqyah dan ayat-ayat al-Quran sebagai sebahagian aspek perubatan, sama jugalah dengan seorang ustaz yang menolak rawatan hospital, kedua-duanya adalah penganut paradigma sekular.
HOSPITAL ISLAM
Lanjutan dari isu tersebut, bagaimanakah pula kita melihat isu Hospital Islam?
Apakah Hospital Islam itu mesti dinamakan dengan nama Arab dan Islam baru ia menjadi Hospital Islam? Hospital Berkat, Hospital Hikmah, Hospital Islam, maka baru menjadi Hospital yang Islamik? Apakah Hospital Pakar Georgetown, Hospital Rawatan Sinergi, Hospital Kensington (semua nama hanya rekaan, jika ada persamaan, ia hanya kebetulan – penulis) menjadi tidak Islamik?
Apakah yang dikehendaki oleh Islam daripada sebuah hospital?
Fungsi hospital adalah untuk menyembuhkan penyakit.
Apakah masih Islam sebuah hospital, jika seorang pesakit yang dirawat di sebuah hospital bernama Hospital Islam, mati akibat rawatan yang tidak baik, atau kecuaian pekerjanya yang Muslim?
Nilai Islam bukan hanya dalam bentuk Bismillah semasa injeksi dibuat, bukan hanya pada keseragaman kakitangannya yang bertudung belaka, dan warna bangunannya yang Islam (ada warna Islam?) serta namanya yang Arab. Nilai Islam ialah pada apa yang terbaik ia tawarkan untuk manusia.
NILAI ISLAM DI DALAM SEBUAH HOSPITAL
Bagi sebuah hospital, nilai Islamnya ialah pada rawatan yang terbaik, layanan kepada pesakit secara yang terbaik, pekerjaan kakitangannya yang efektif dan usaha membantu pesakit Muslimnya menjalankan ibadah dengan baik. Malah hospital Islam turut membantu pesakit non Muslimnya mendapatkan khidmat Chaplain agama mereka. Inilah nilai Islam bagi sebuah hospital.
korbanlembu.jpg
Apabila Rasulullah SAW mengajar kita menyembelih haiwan ternakan, nilai Islam bukan hanya pada lafaz “Bismillah, Allahu Akbar” tetapi juga pada penggunaan pisau yang tajam. Pisau yang tajam adalah nilai produktiviti dalam penyembelihan haiwan. Lebih segera, kurang usaha, jimat masa, banyak hasilnya… ini didikan Nabi SAW.
Jika kita lihat lafaz Bismillah sahaja yang Islamik, sedangkan menajamkan pisau bukan Sunnah, kitalah yang sekular itu.
SEMUA HOSPITAL BERPOTENSI
Maka semua hospital yang telah sedia ada, berpotensi menjadi Hospital Islam. Untuk mengislamkannya, tidak perlu kepada rombakan kaedah pembedahan di OT, atau mengubah cara diagnosis dibuat. Untuk mengislamkan sebuah hospital, kita tidak perlu mengecatnya dengan warna Islam, atau menukar namanya dengan memasukkan nama Islam. Malah untuk mengislamkan sebuah hospital, ia tidak perlu kepada menyekat diri untuk hanya menerima pekerja yang beragama Islam.
Dan sudah tentu tidak mampu untuk hanya menerima pesakit Muslim!
Sebuah hospital Islam adalah hospital yang memberikan servis yang terbaik kepada pesakit dan pelanggannya. Itu yang pertama.
Sebuah hospital Islam mempunyai pekerja yang berpegang dengan nilai Islam. Apakah nilai Islam? Iaitulah sempurna nilai integriti, dan sempurna nilai kompetensi.
SUMBER INTEGRITI
Dari mana seorang Muslim beroleh integriti? Ia datang dari iman mereka kepada Allah yang mengatakan bahawa mereka dan kita semua adalah hamba-Nya, pekerjaan kita adalah sebahagian daripada ‘ubudiyyah kita kepada-Nya. Kita bekerja bukan hanya untuk mencari pahala, tetapi turut mengelak diri dari dosa.
Dosa dan pahala lebih berkesan dari sekadar bergantung kepada carrot and stick.
Bekerja bukan hanya untuk memenuhi KEPERLUAN HIDUP, tetapi mengutamakan TUJUAN KEHIDUPAN.
KOMPETENSI
Dari mana pula nilai kompetensi dihasilkan?
Tidak lain dan tidak bukan, dari Iman yang sama. Beriman kepada Allah menuntut kita melakukan yang terbaik dalam hidup ini. Cincai-cincai atau ala kadar bukan ajaran Islam. Melepaskan batuk di tangga, adalah penyakit iman. Jika Islam, tamadun mesti tinggi, sains mesti yang terkini dan buat apa sahaja, mesti tinggi lagi berkualiti.
Memberikan perkhidmatan yang cemerlang, adalah perintah Islam. Bukan hanya memperelokkan amal di masjid, malah di semua aspek kehidupan. Seluruh hidup ini adalah ibadah.
al-mulk_2.JPG
“Dialah yang telah menciptakan mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Al-Mulk 67 : 2)
BAGAIMANA DENGAN SOAL KEUNTUNGAN?
Rasulullah SAW mengajar kita bahawa menjaga kebajikan ahli keluarga, dan mereka yang di bawah tanggungan kita, adalah tanggungjawab agama. Kerangka inilah yang dipegang oleh majikan Hospital Islam terhadap pekerjanya.
Hospital sama ada ia Islam atau tidak Islam, ia memerlukan perbelanjaan yang besar untuk beroperasi. Kos dan perbelanjaan Hospital Islam tidak boleh diselesaikan dengan menyalahgunakan konsep zuhud, tawadhu’, bersederhana dan ‘bekerja Lillahi Taala’ tidak tentu hujung pangkalnya.
Maka Hospital Islam tidak perlu diasaskan atas dasar kebajikan untuk dianggap Islam.
Sudah jadi penyakit di dalam paradigma kita bahawa yang Islam, semuanya kena murah, semuanya mesti derma, semuanya dengan ihsan. Apakah salah sebuah hospital dibina dengan yuran yang sama seperti hospital biasa? Jika soalan ini tidak dijawab, maka saksikan sahajalah satu demi satu Hospital dan Pusat Rawatan Islam jatuh bangkrap!
Walaupun keuntungan adalah sebahagian daripada perniagaan, Hospital Islam tidak akan menindas pesakit yang tidak upaya. Wad Kecemasan Hospital Islam tidak akan menghalau pesakit kecemasan yang tidak dapat menjelaskan upaya kewangannya. Hospital Islam tidak akan meletakkan KEPERLUAN mengatasi TUJUAN.
Mungkin Hospital Islam perlu lebih kreatif dalam memperbanyakkan sumber kewangan bagi menampung keperluan mereka yang tidak berupaya. Zakat perniagaannya sebagai sebuah syarikat, mungkin elok disalurkan ke tabung bantuan pesakit kurang upaya.
Terlebih penting, Hospital Islam memegang etika hemah berbelanja. Ia tidak akan menghabiskan duitnya untuk pesta dan karaoke demi meraikan pekerjanya. Ia harus ada cara tersendiri merai dan membahagiakan pekerja. Ia tidak membazirkan keuntungan sesuka hati kerana keperluan menampung pesakit fakir miskin sudah cukup besar untuk tidak memungkinkan wang dibazir mengikut trend korporat masa kini.
Tegasnya, semua hospital berpotensi untuk menjadi Hospital Islam, asalkan soal paradigma yang berpecah belah akibat sekularisma itu diperbaiki semula.
PENGALAMAN UNTUK PERBANDINGAN
Pengalaman saya, semasa isteri bersalin di Royal Maternity Hospital Belfast di Ireland Utara.
belfast_royal_maternity.JPG
Saiful Islam lahir di Royal Maternity Hospital, Belfast

Semasa di dalam bilik bersalin hinggalah ke wad, tidak ada pekerja lelaki. Dari kakitangan perubatan, hinggalah kepada pekerja sokongan, kesemuanya wanita, kerana hospital itu adalah hospital wanita. Hanya pakar bius yang memberikan epidural sahaja lelaki yang saya temui dari kalangan kakitangannya.
Selepas selesai bersalin, jururawat memeriksa rekod dan telah ditandakan bahawa 10 minit mesti diperuntukkan untuk kami menyelesaikan tuntutan agama. Kami ditinggalkan bertiga di dalam bilik bersalin, dan semasa itulah saya mengazankan anak dan sujud syukur kerana semuanya selamat. Semua maklumat pesakit, diteliti dengan baik.
Permintaan saya agar placenta (uri) diberikan, dilayan dengan baik, di samping nasihat yang disertakan agar saya menguruskan placenta itu dengan sebaiknya.
Kemudian, saya tidak perlu bersusah payah ke pejabat pendaftaran kerana setiap hari pegawai pejabat pendaftaran datang ke hospital untuk mendaftarkan anak-anak yang baru dilahirkan. Makanan halal juga disediakan sebaik mungkin. Wad pula tiada kelas satu, dua atau tiga. Semua rakyat beroleh layanan yang sama. Jika wang lebih, pembelian insurans membolehkan anda dirawat oleh doktor pakar secara keutamaan, namun keselesaan asas di hospital diberi sama rata.
Tegasnya, di hospital ‘Kristian’ itu, saya bertemu dengan Islam tanpa nama.
Apabila anak kedua saya dilahirkan di sebuah hospital bernama Islam, kehadiran saya sebagai suami untuk membantu isteri, tidak begitu disenangi. Wajah masam sudah terpaksa tidak diambil kira demi keselesaan hati sendiri.
Selepas bersalin, saya terpaksa meminta anak diserahkan seketika untuk diazankan, kerana sudah hampir satu jam anak saya dilahirkan. Selepas beberapa ketika, anak saya disuapkan susu formula tanpa langsung memaklumkannya kepada saya atau isteri.
Satu-satunya ‘nilai Islam’ yang saya temui, ialah doa-doa yang ditulis di Kad Manila, ditampal di dinding-dindingnya.
Jika Islam itu Rahmat bagi sekalian alam, anda mahu menebarkan nama Islam, atau inti dan nilainya?
Saya mengimpikan kedua-duanya, namun langkah pertama bermula dengan nilai dan kualiti, bukan syiar dan slogan kosong tanpa makna.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments: