03 November 2010

Jauhkan bukan Islam dari Islam!!!!

Jauhkan Bukan Islam dari Islam!


Penglaman setahun menjadi presiden Durham University Islamic Society membekalkan pengalaman yang amat berharga bagi diri saya. Jika selama ini pergaulan bersama bangsa berlainan merupakan satu perkara yang amat mudah bagi diri saya, tetapi pengalaman mengurus, mentadbir dan memerintah umat Islam dari pelbagai bangsa dan latar belakang membuka ruang horizon yang baru. Setahun lepas yang dilalui memberikan pengalaman dan debaran pada setiap detik yang berlalu. Suka, duka, marah, gembira menjadi ulam dan perencah kehidupan di bumi Durham, UK.

Agak menarik, populasi Muslim yang hampir 500 orang (tidak termasuk anggota keluarga dan anak-anak) dari pelbagai negara menjadikan Islamic Society di Durham begitu berwarna warni. Jika di kebanyakan universiti di UK, Islamic Society lebih didominasi oleh pelajar pra-siswazah yang berketurunan British Muslim (majoritinya berketurunan India Muslim), di Durham ia agak berbeza. 90% anggota Islamic Society merupakan warga PhD dan juga mereka yang bekerja serta berkeluarga. Keadaan ini memberikan keadaan yang amat mencabar bagi sesiapa sahaja yang menjawat jawatan nombor satu untuk mengawal Pak-Pak Arab, Pakistan, Turki, Iran dan pelbagai bangsa yang wujud mewakili umat islam dari negara masing-masing.

Pelbagai konflik yang berlaku untuk dikongsikan dan dicoretkan, tetapi ianya tidak perlu dan tidak memberikan apa-apa pengajaran kepada para pembaca sekelian. Cuma ruang konflik yang berlaku seringkali timbul dan ditimbulkan oleh sekelompok manusia Muslim konservatif yang enggan membuka fikiran mereka. Seperti di kebanyakan universiti lain di UK, Islamic Society yang memilih jalan moderat dan keterbukaan akan sentiasa menerima tentangan dan kritikan dari golongan konservatif dari dua aliran utama. Aliran pertama diwakili oleh golongan tradisionalis yang taksub mazhab (kebanyakannya adalah golongan India Muslim bermazhab Hanafi) dan golongan kedua adalah golongan Salafi (atau lebih popular dengan label Wahabi). Syukur di Durham tiada unsur radikal lain seperti Hizbut Tahrir ataupun golongan militan Ahbash.

Seperkara yang menarik ialah mengenai program National Iftar day yang diadakan di kebanyakan universiti di UK sewaktu bulan Ramadhan. Kebiasaannya, pihak berkuasa universiti dan juga para pelajar non-Muslim akan dijemput unutk hadir berbuka puasa dan bersama merasakan ukhuwwah di kalangan Muslim ketika berbuka puasa. Ianya juga menjadi medan dakwah untuk masyarakat non-Muslim di kalangan pelajar universiti untuk melalui pengalaman menyaksikan umat Islam beroslat dan juga peluang untuk mereka bertanya terus kepada para Muslim pengalaman mereka berpuasa. Program tersebut merupakan salah satu daripada seribu medium dakwah di bumi UK.

Bagi Durham University Islamic Society, bukan hanya wakil non-Muslim di dalam universiti (seperti VC, Dekan dll.) sahaja yang diundang, malah pihak polis, Mayor (Datuk Bandar), pihak council (Majlis Bandaraya) dan juga pertubuhan pro-Palestin yang dianggotai oleh majoriti non-Muslim menjadi tetamu lazim. Kebanyakan mereka yang hadir akan diberikan hadiah untuk dibawa pulang berisi buku-buku dan juga bahan-bahan dakwah yang lain. Selain daripada menyaksikan video mengenai ramadhan dan juga mendengar taklimat dari pihak Islamic Society mengenai erti sebenar Ramadhan dan puasa, mereka juga diberikan peluang untuk berucap. Seringkali pihak Majlis Bandaraya akan berucap di majlis separa formal tersebut.

Apa yang menarik, dua golongan konservatif yang telah disebutkan sering akan bangkit memprotes. Oleh kerana majoriti lebih memihak kepada program tersebut, maka suara konservatif hanya menjadi komen-komen pinggiran sahaja. Ini jugalah pengalaman yang telah saya lalui pada tahun yang lalu... amat sukar untuk membuka mata mereka untuk menerima program tersebut sebagai medan dakwah. Seperti sesetengah orang Melayu yang mereasakan Islam adalah milik esklusif orang Melayu sahaja, begitu juga golongan konservatif tersebut. Alhamdulillah mereka amat minoriti dan tidak memberikan kesan pada tahun sudah. Malangnya oleh kerana pada tahun ini presiden yang telah dipilih merupakan wakil dari salah satu golongan tersbeut, maka pada tahun ini program dakwah seumpamanya tidak dijalankan. Alasan mereka, tiada dana untuk program sedemikian...

Di dalam kesedihan melihat cahaya dakwah yang semakin cuba dipadam oleh golongan konservatif di Durham, hati saya semakin sayu membaca apa yang berlaku di tanah air. Demi memperjuangkan politik sempit dan juga membangkitkan api perkauman, sesetengah golongan berkepentingan di Malaysia cuba memadamkan cahaya dakwah dengan melarang non-Muslim masuk ke surau dengan pelbagai alasan yang dangkal. Lebih malang lagi, pelabagai fitnah dilemparkan terhadap usaha suci murni dakwah dengan mengheret pihak istana. Inilah padahnya apabila golongan konservatif menguasai institusi agama. Samada yang taksub mazhab, taksub bangsa ataupun taksub parti...natijahnya, cahaya dakwah Islam akan terpadam...

Keadaan menjadi lebih parah lagi apabila usaha mendoakan agar bukan Islam diberikan hidayah pun diHARAMkan dan dijadikan isu politik. Apakah golongan terdesak dan taksub bangsa ini sudah hilang nilai dakwah?

Semoga Allah menyelamatkan agama ini dan menunjukkan kepada golongan yang berkepentingan ini cahaya kebenaran...

Maszlee Malik
Mantan Presiden
Durham University Islamic Society (2009-2010)

No comments: